Followers

Thursday, December 24, 2009

PAHALA TAKUT KEPADA ALLAH

Dalam sebuah hadis Qudsi ada riwayat yang menggembirakan hati mengenai balasan yang diberikan Allah kepada orang yang takut kepadaNya.

Rasulullah bersabda:"Ada seorang lelaki tidak pernah berbuat kebajikan sama sekali. Lelaki itu berwasiat kepada keluarganya:"Jika aku mati, maka bakarlah aku lalu lumatkanlah aku jadi abu. Kemudian taburkanlah abu itu sebahagian di daratan dan sebahadian lagi di lautan. Demi Allah, jika Allah sampai menghisabku pasti akan mengazabku dengan azab yang tidak pernah ditimpakan pada seorang pun di alam semesta!"

Tatkala lelaki itu meninggal dunia, keluarganya melaksanakan apa yang telah ia wasiatkan pada mereka. Lalu Allah memerintahkan pada daratan untuk mengumpulkan abu yang disebar di daratan itu. Juga memerintahkan lautan untuk mengumpulkan debu yang disebarkan di lautan itu.

Kemudian Allah bertanya pada lelaki itu setelah dihidupkan kembali:

"Kenapa kau lakukan ini?"

Lelaki itu menjawab:

"Kerana aku takut kepadaMu Tuhanku, dan Engkau lebih tahu itu."

Allah lalu mengampuninya."

Kisah dalam hadis qudsi ini begitu menyentuhdan penuh hikmat. Seorang yang selalu berbuat maksiat dan tidak pernah beramal soleh sedikit pun dalam hadis itu masih memiliki rasa takut kepada Allah. Keagungan Allah ada di depan matanya sehingga ia takut akan hisab dan azabNya atas perbuatannya di dunia. Hal ini membuatnya berwasiat bodoh. Setelah mati ia ingin mayatnya dibakar dan abunya disebar di daratan dan lautan dengan harapan tidak akan dihisab Allah. Ia yakin hisab Allah itu ada dan menunggunya setelah kematiannya. Ia ingin menyelamatkan dirinya dengan menyebarkan abu tubunya di daratan dan lautan.

Namun Allah Maha Kuasa untuk tetap menghisabnya. Tak ada yang luput dari hisabNya. Dan pada akhirnya Allah mengampuni lelaki itu berkat rasa takutnya pada keagungan Allah swt.

Hikmah yang diambil adalah bahawa sekecil apapun keimanan dalam dada seseorang akan adanya Allah, akan adanya hisab dan keadilan Allah dapat menurunkan keampunan dan rahmat Allah swt. Bagaimana jika rasa takut pada Allah itu dihadirinya setiap saat dengan disertai amalan soleh? Tentu pahala yang disediakan Allah lebih besar dan agung. Di dalam Al Quran Allah swt telah berfirman dan memberikan khabar gembira:

"Dan adapun orang orang yang takut pada keagungan Tuhannya, dia menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, makan sesungguhnya syurgalah tempat tinggal yang abadi." (An-Naaziat.40-41)

Thursday, December 17, 2009

Warkah Buat Hawa


Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah.

Hawa,
Andai engkau belum berkahwin jangan engkau risau jodohmu, ingatlah Hawa janji Tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka tercetusnya salam dan sekaligus disusuli dengan pertemuan takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa,
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya, lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui leayuannya, kemanjaannya,serta kemampuannya menggoncang iman lelaki. Tetapi lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya dan yang penting pegangan agamanya.

Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk menggodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita yakni sebuah perkahwinan.

Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu.
Andai ditakdirkan tiada cinta daripada Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangat kebahagiaan buat dirimu,cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang membahagiakan dirimu.

Hawa,
Cintailah Allah dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga.

Janganlah tangan yang menggoncang dunia juga menggoncang iman lelaki.

Wednesday, December 16, 2009

Anak Kecil Yang Takut Api Neraka


Dalam sebuah riwayat menyatakanbahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wuduk sambil menangis.

Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata,"Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"

Maka berkata anak kecil itu,"Wahai pakcik saya telah membaca ayat Al-Quran sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi,"Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu."Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka".

Berkata orang tua itu,"Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata anak kecil itu,"Wahai pakcik,pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis,"Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"

Tuesday, September 8, 2009

RASULULLAH TIDAK MENETAPKAN JUMLAH RAKAAT SOLAT TARAWIH


Suasana di dalam masjid hiruk pikuk dengan pekikan dan makian. Hassan al Banna yang dari luar mendengar suara berkenaan segera masuk ke dalam masjid. Kelihatan dua kumpulan sedang bertegang urat. Apabila kedua dua kumpulan ini melihat Hassan al Banna memasuki masjid, mereka semua diam.

“Kenapa bergaduh?” soal Hassan al Banna dengan lembut.

“Kami mahu solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Tetapi mereka katakana tidak sunnah. Yang sunnah kata mereka 9 rakaat.” Seorang lelaki dari kumpulan itu menjawab pertanyaan Hassan al Banna.

Dengan lembut dan bersahaja Hassan al Banna bersuara,”Adakah solat yang sunat ini lebih penting daripada kewajipan untuk bersaudara di kalangan kita sesama Muslim?”

Di atas adalah secebis peristiwa yang pernah berlaku pada zaman Hassan al Banna masih hidup. Isunya kecil tetapi disebabkan tiada kefahaman yang mendalam terhadap hokum Islam, ia menjadi besar. Lebih lebih lagi apabila emosi mengatasi wahyu dan rasional, maka itulah yang akan terjadi.

Saban tahun perkara ini sering berlaku. Satu pihak menuduh mengadakan perkara baru dan satu pihak menuduh terlalu memudahkan agama. Namun yang sebenarnya, kedua dua dakwaan ini sama sekali tidak berasas. Dalam Islam, sesuatu hokum atau penetapan dalam agama haruslah bersandarkan dalil. Dalil atau bukti dalam Islam ialah al Quran dan Hadis sahih. Oleh itu, untuk membicarakan mengenai hukum, emosi harus dijauhkan. Terutama dalam hal yang terdapat didalamnya perbezaan pandangan dalam kalangan ulama’ muktabar.

Dalam isu solat tarawih ini. Rasulullah tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus terusan tanpa ada batasan. Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata,”Rasulullah bersabda:Bersolatlah kamu dua rakaat dua rakaat (berulang ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup”.

Berdasarkan hujah diatas, kita dapati bahawa Nabi Muhammad SAW tidak ada menetapkan sebarang rakaat untuk melaksanakan solat sunat tarawih. Cuma, sunnah yang dianjurkan adalah 11 rakaat termasuk witir: Ini bertepatan dengan satu hadis yang direkodkan Imam Bukhari dalam sahihnya. Saidatina Aisyah berkata,”Tidak pernah Baginda melaksanakan solat malamnya pada Ramadhan mahupun pada bulan lain melebihi sebelas rakaat”.

Friday, August 21, 2009

KELEBIHAN RAMADHAN


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selag tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap. >>http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Ramadhan.html >>

Wednesday, August 19, 2009

~Keinsafan Diri~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...