Followers

Tuesday, September 8, 2009

RASULULLAH TIDAK MENETAPKAN JUMLAH RAKAAT SOLAT TARAWIH


Suasana di dalam masjid hiruk pikuk dengan pekikan dan makian. Hassan al Banna yang dari luar mendengar suara berkenaan segera masuk ke dalam masjid. Kelihatan dua kumpulan sedang bertegang urat. Apabila kedua dua kumpulan ini melihat Hassan al Banna memasuki masjid, mereka semua diam.

“Kenapa bergaduh?” soal Hassan al Banna dengan lembut.

“Kami mahu solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Tetapi mereka katakana tidak sunnah. Yang sunnah kata mereka 9 rakaat.” Seorang lelaki dari kumpulan itu menjawab pertanyaan Hassan al Banna.

Dengan lembut dan bersahaja Hassan al Banna bersuara,”Adakah solat yang sunat ini lebih penting daripada kewajipan untuk bersaudara di kalangan kita sesama Muslim?”

Di atas adalah secebis peristiwa yang pernah berlaku pada zaman Hassan al Banna masih hidup. Isunya kecil tetapi disebabkan tiada kefahaman yang mendalam terhadap hokum Islam, ia menjadi besar. Lebih lebih lagi apabila emosi mengatasi wahyu dan rasional, maka itulah yang akan terjadi.

Saban tahun perkara ini sering berlaku. Satu pihak menuduh mengadakan perkara baru dan satu pihak menuduh terlalu memudahkan agama. Namun yang sebenarnya, kedua dua dakwaan ini sama sekali tidak berasas. Dalam Islam, sesuatu hokum atau penetapan dalam agama haruslah bersandarkan dalil. Dalil atau bukti dalam Islam ialah al Quran dan Hadis sahih. Oleh itu, untuk membicarakan mengenai hukum, emosi harus dijauhkan. Terutama dalam hal yang terdapat didalamnya perbezaan pandangan dalam kalangan ulama’ muktabar.

Dalam isu solat tarawih ini. Rasulullah tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus terusan tanpa ada batasan. Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata,”Rasulullah bersabda:Bersolatlah kamu dua rakaat dua rakaat (berulang ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup”.

Berdasarkan hujah diatas, kita dapati bahawa Nabi Muhammad SAW tidak ada menetapkan sebarang rakaat untuk melaksanakan solat sunat tarawih. Cuma, sunnah yang dianjurkan adalah 11 rakaat termasuk witir: Ini bertepatan dengan satu hadis yang direkodkan Imam Bukhari dalam sahihnya. Saidatina Aisyah berkata,”Tidak pernah Baginda melaksanakan solat malamnya pada Ramadhan mahupun pada bulan lain melebihi sebelas rakaat”.

~Keinsafan Diri~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...